Wednesday, April 7, 2010

PANEL DUNGUN MEMBANGUN TERUS MENYUMBANG

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Malam Panel Dungun Membangun disambut meriah di Tanjong Lounge, Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan dihadiri oleh ramai tetamu kehormat terdiri daripada Anak Dungun yang berjaya di perantauan selain daripada sebahagian besar tenaga pelaksana di peringkat Daerah Dungun.

Majlis ini diadakan sebagai kesinambungan daripada penubuhan Panel yang bermula selepas Pilihanraya Umum Kesebelas tahun 2004 yang objektifnya untuk mengumpulkan warga Dungun yang terdiri daripada ahli akademik, korporat, tokoh-tokoh perkhidmatan awam dan swasta yang berada di Dungun dan di luar Dungun.

Visi Panel ini adalah sebagai pertubuhan sukarela yang menyumbang usaha ke arah peningkatan taraf sosio-ekonomi warga Dungun menerusi kemajuan ilmu dan pembangunan.


Program dimulakan secara santai jam 8 malam dengan makan malam sebagai pembuka tirai.

Selepas makan malam, program formal bermula dengan bacaan doa diikuti dengan persembahan klip video ringkas Dungun Membangun.

Agenda Pembentangan Perancangan melibatkan Pembangunan Daerah Dungun turut dimuatkan dengan dikendalikan oleh wakil kepada Dato’ Mat Nor Nawi, Timbalan Ketua Pengarah I, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Mat Nor merupakan anak Dungun dan juga merupakan salah seorang anggota Panel.

Kemuncak program adalah penyerahan tugas Pengerusi Panel oleh YB Dato’ Mazlan Ngah, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu kepada Dato’ (Dr) Rosli Mat Hassan dengan disaksikan oleh YB Datuk Za’abar Dato’ Mohd Adib, Penasihat kepada Panel yang juga EXCO Kerajaan Negeri.

Dalam ucapan beliau selaku Pengerusi yang baru, Rosli mengucapkan terima kasih kepada Mazlan atas sumbangannya selain memaklumkan kepada hadirin bahawa Mazlan telah bersetuju untuk dilantik sebagai Penaung selain perlantikan Haji Mustofa Abdul Rahman, Pegawai Daerah Dungun selaku Timbalan Pengerusi dan Haji Zainal Abidin Husin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun sebagai Setiausaha Panel.

Beliau juga menyampaikan salam daripada YAB Dato' Ahmad Said, Menteri Besar yang tidak dapat hadir bersama kerana perlu berada di Kemaman atas program rasmi di kawasan.

Majlis turut meraikan perlantikan Mazlan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dan persaraan Dato’ Haji Ismail Ngah daripada perkhidmatan awam. Untuk rekod, Mazlan sebelum ini merupakan Pegawai Kewangan Negeri sementara Ismail merupakan bekas Ketua Pengarah Jabatan Lanskap Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Antara tetamu lain yang hadir dari kalangan warga Dungun termasuklah YB Senator Hajjah Zainun A. Bakar, Dato’ Haji Zakaria Awang, Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Zolkples Embong, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Alwi Said, Timbalan Pengerusi Yayasan Dungun, Datuk Awang Jabar, Pengerusi Sincere Image Sdn Bhd dan Dato’ Chang Jong Yu, Pengarah Yan Concrete-Mix Products.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan nyanyian oleh Ramli Sarip diiringi pemain gitar terkenal tanahair Man Kidal. Antara lagu yang didendangkan termasuklah lagu Pewaris Anak Dungun yang diilhamkan oleh Rosli dan senilagunya disusun oleh Ramli.

Penyerahan Watikah kepada anggota dan sekretariat Panel menjadi penutup acara yang berakhir jam 11.15 malam.


DUNGUN HARI INI

No comments:

Post a Comment